Nak tahu cara pelaburan emas terbaik di Malaysia? Ini adalah salah satu persoalan yang sering ditanya oleh pengunjung blog PelaburanEmas.org. Di sini saya akan kongsikan sedikit sebanyak ilmu emas agar sahabat-sahabat semua faham teknik pelaburan emas terbaik yang boleh anda lakukan dan juga tips untuk anda elakkan apabila nak melabur emas.
Persoalan yang paling banyak sekali pengunjung blog ini bertanyakan saya tentang hukum pelaburan emas yang ada ditawarkan kepadanya oleh satu syarikat samada halal atau haram. Alhamdulillah… satu petanda baik bahawa umat Islam semakin peka tentang halal dan haramnya sumber pendapatan mereka.
Ramai di antara para pelabur emas di Malaysia terkeliru dan mungkin terpedaya dengan skim pelaburan emas yang BERTOPENGKAN EMAS dan berbagai-bagai seperti pelaburan emas ETA (Estimate Time of Arrival – macam tunggu masa ketibaan pesawat penerbangan di airport je bunyinya…) yang semakin hangat diperkatakan. Mereka hanyalah satu daripada beratus-ratus contoh skim cepat kaya yang akan memerangkap anda.
Baru-baru ini telah dilaporkan dalam Harian Metro bertarikh 10 Januari 2020 berkaitan ada pihak tertentu yang menggunakan nama syarikat Makmur Gold Holding Sdn Bhd untuk memperdaya penduduk di sekitar Kuantan, Pahang dan Kota Bharu, Kelantan.
Pengerusi Eksekutifnya, Hishamuddin Abdullah berkata, skim pelaburan emas itu dipercayai sudah memperdaya ramai mangsa yang mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.
Katanya, pihaknya mengetahui nama syarikatnya digunakan oleh skim pelaburan emas yang berpengkalan di Kuantan, Pahang dan mempunyai ramai ejen di Kelantan, minggu lalu.
“Ia hasil daripada lebih 10 pelanggan yang datang ke kedai kami di Kuantan, Pahang dan Tunjong, Kota Bharu yang bertanya sama ada syarikat kami menjalankan pelaburan emas.
“Syarikat menegaskan tidak pernah menjalankan skim pelaburan emas, sebaliknya kami mengeluar dan menjual emas baharu.
“Kami membuat laporan polis kerana tidak mahu skim pelaburan emas itu menyalahgunakan nama kerana boleh merosakkan nama syarikat,” katanya ketika ditemui di IPD Kota Bharu di Pengkalan Chepa, hari ini.
Menurutnya, ia adalah laporan polis kedua dibuat syarikatnya selepas yang pertama di Kuantan, Selasa lalu.
Katanya, pihaknya tidak mahu skim pelaburan emas itu terus menggunakan nama syarikat dan memaklumkan kepada pelabur bahawa Makmur Gold di Kota Bharu dan Kuantan sebagai pusat operasi mereka.
“Saya berharap orang ramai lebih berhati-hati dengan skim pelaburan emas bagi mengelakkan mereka mengalami kerugian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan menerima laporan dan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut.
Sumber: Harian Metro, 10 Januari 2020.
Untuk sahabat-sahabat yang masih keliru, persoalan ini mudah dijawab jika kita faham bahawa TIADA ISTILAH beli jongkong emas sekali dan dapat untung berkali-kali tanpa buat apa-apa.
Seterusnya soalan ini mudah dijawab jika kita faham konsep riba iaitu kita mendapat keuntungan dengan memberi pinjam (memberi deposit) duit kita sebanyak RM10,000 pada pihak yang lain (dengan persetujuan bahawa ada bayaran tambahan atau keuntungan (dipanggil riba qardh) pada setiap minggu atau setiap bulan tanpa usaha dan tanpa mengurangi duit RM10,000 tersebut.
Bila anda diberi NOMBOR AKAUN BANK untuk tujuan deposit pelaburan emas, sila pastikan nombor akaun tersebut BUKAN atas nama INDIVIDU.
Jika anda diberi nombor akaun syarikat pula, boleh semak di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan layari https://www.ssm-einfo.my/. Selepas login, klik ikon Search dengan isikan nama syarikat (By name). Jika tiada… maka syarikat tersebut tidak berdaftar dan anda berisiko amat tinggi untuk diperdaya.
Mudahkan? Memang amat mudah nak faham namun pihak Yahudi, Nasrani dan Majusi memang pandai. Mereka cipta pelbagai nama agar umat Islam terkeliru dan terpaksalah ulama-ulama mengeluarkan fatwa demi fatwa yang menyatakan sesuatu pelaburan itu halal atau haram. Perkataan seperti “dividen tetap bulanan” yang paling popular selain daripada bonus atau keuntungan.
Beberapa tahun dulu (semasa posting ini ditulis pada 1 Januari 2015), ciri-ciri ini terdapat pada Pegasus Bullion yang semakin berkembang secara ‘underground’ di Malaysia (tiada syarikat yang sah dan dipantau oleh BNM) kerana syarikat ini beroperasi dari Hong Kong dan telah membuka cawangan di Thailand dan Indonesia – sekarang dah senyap sepi.
Ramai yang terpedaya termasuk penjawat awam! Kasihan…
Sejak lebih lima tahun lepas juga, terdapat satu lagi jenis pelaburan emas yang sedang secara atas talian ke atas komoditi-komoditi utama dunia seperti emas, perak, koko, gula, gandum, minyak mentah dan sebagainya. Mereka mencipta program yang dinamakan Plus500 dan apabila diselidiki, syarikat ini beroperasi dari Israel dan pendaftaran di London. Mereka menggunakan istilah CFD atau “Contract For Difference”. Memang syok dapat keuntungan yang banyak samada harga komoditi naik atau jatuh, namun, yang haram tetap haram.
Janganlah kita termakan umpan mereka yang menawarkan keuntungan beribu-ribu ringgit seminggu malah sehari! Ingatlah hari akhirat agar kita tidak menyesal selama-lamanya memakan harta yang haram.
Persoalan seterusnya ialah mengenai cara pelaburan emas yang paling baik. Pada asasnya…
JANGAN SEKALI-KALI MEMBELI EMAS MENGGUNAKAN DUIT PINJAMAN ANDA!
Adalah menjadi sesuatu yang amat malang jika anda memohon personal loan atau pinjaman peribadi semata-mata nak dapat keuntungan pelaburan emas dengan membeli emas. Mana-mana guru pelaburan emas yang menasihati anda untuk menggunakan duit pinjaman untuk beli emas merupakan guru emas ajaran sesat dan akan menyesatkan anda juga. Anda yang akan menjadi mangsa penipuan guru emas ajaran sesat tersebut.
Dan satu lagi kaedah paling berisiko dalam pelaburan emas di Malaysia ini ialah kaedah beli pajak, beli pajak emas di Ar-Rahnu. Aduhai… memang orang Malaysia ni serba boleh dan sangat cepat terpedaya bila dengar apa-apa pelaburan yang ‘janji’ pulangan beribu-ribu dalam skim cepat lebur ni… Tahukah anda bahawa nama anda akan disimpan dalam maklumat Bank Negara Malaysia apabila anda pernah membuat pajakan di Pejabat Pos atau mana-mana bank seperti Bank Rakyat dan Bank Islam. Kemungkinan sukar untuk anda membuat pinjaman untuk beli rumah atau kereta nanti. Jadi, berhati-hatilah ye…
Anda hanya dinasihatkan untuk membuat pelaburan emas hanya dengan membeli emas fizikal menggunakan LEBIHAN DUIT SIMPANAN ANDA SENDIRI SAHAJA! Jangan pula anda gunakan kesemua duit simpanan untuk beli emas. Anda perlu meninggalkan duit simpanan untuk keperluan sekurang-kurangnya untuk selama tiga bulan. Itu adalah teknik pelaburan emas yang terbaik dari dahulu, sekarang dan akan datang. Tiada cara pelaburan emas seperti itu akan mendatangkan masalah atau risiko kepada anda.
Sebenarnya, ada banyak lagi… Dapatkan 5 tips mudah memulakan pelaburan emas secara sah dan patuh syariah di sini.
Seperti yang saya dah bincangkan sebelum ini tentang ciri-ciri pelaburan emas yang sah dan patuh syariah, saya cadangkan anda untuk bandingkan sendiri bank-bank atau syarikat-syarikat yang mana memberikan anda keuntungan pelaburan emas yang sebenar malah sah di sisi undang-undang dan yang paling penting patuh syariah iaitu halal
Semoga anda berjaya dalam pelaburan emas!