Warga Emas & Skim Pelaburan Emas Palsu: Elak Jadi Mangsa

Awas Skim Pelaburan Emas Palsu – Duit Pencen Anda Bukan Untuk Ditipu!

Skim cepat kaya pelaburan emas

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai pesara dan warga emas menjadi mangsa skim cepat kaya, terutamanya melibatkan pelaburan emas palsu. Baru-baru ini, beberapa kes besar telah dilaporkan di Malaysia, memperlihatkan bagaimana penipu bijak memperdaya mangsa dengan janji pulangan lumayan.

Menurut beberapa laporan akhbar dan media tempatan, terdapat banyak kes penipuan pelaburan emas yang berjaya menjerat mangsa, termasuk golongan pesara yang telah menghabiskan simpanan mereka. Salah satu kes besar melibatkan sebuah syarikat yang menjanjikan pulangan bulanan sehingga 15% untuk setiap gram emas yang dibeli. Namun, syarikat tersebut akhirnya ‘hilang’ bersama wang pelabur.

Kes-kes Terkini Skim Pelaburan Emas Palsu

1. Penipuan RM1.63 Juta di Pulau Pinang

Seramai 13 individu ditipu oleh dua orang penipu yang mengendalikan syarikat pelaburan emas, menjanjikan pulangan bulanan 5-10%. Malangnya, semua pelabur ini kehilangan wang pelaburan mereka, berjumlah RM1.63 juta! Kes ini dilaporkan berlaku di Pulau Pinang pada September 2024​ (Kosmo Digital).

2. Kehilangan RM100 Juta oleh 1,500 Mangsa

Sebuah skim pelaburan emas yang menawarkan komisen harian 3% telah menyebabkan kerugian sebanyak RM100 juta kepada hampir 1,500 individu. Penipu menggunakan taktik piramid untuk menarik mangsa, dan syarikat tersebut akhirnya menutup operasi pada akhir 2022​ lepas (Kosmo Digital).

3. Warga Emas Kehilangan RM320,000

Seorang lelaki berusia 78 tahun menjadi mangsa penipuan pelaburan emas melalui Facebook. Mangsa melaburkan wang pencennya dan dijanjikan pulangan 10-20%, namun akhirnya laman web pelaburan tersebut ditutup, dan dia kehilangan lebih RM300,000​ (Buletin TV3).

Kenapa Pesara dan Warga Emas Mudah Terpedaya?

Warga emas dan pesara sering menjadi sasaran penipuan kerana beberapa faktor:

  1. Tiada Ilmu Kewangan & Ilmu Emas: Pesan guru emas kami, Tuan Mohd Zulkifli Shafie, ramai yang melakukan kesilapan atau dosa kewangan apabila mereka dapat duit dalam jumlah yang banyak kerana tiada ilmu. Mereka hanya ikut sahaja apa yang orang lain terutama inner circle (kenalan rapat) cakap.
  2. Kurang Pendedahan Teknologi: Ramai yang tidak biasa dengan teknologi moden dan mudah percaya iklan di media sosial terutama Telegram, Whatsapp, Facebook.
  3. Sifat Mudah Percaya: Generasi ini cenderung lebih mempercayai janji yang diberi, terutama apabila ia datang dari sumber yang nampak ‘profesional’.
  4. Simpanan Duit Pencen: Wang pencen seperti KWSP dan duit gratuiti pencen yang mereka dapat dan simpan dilihat sebagai ‘sasaran mudah’ oleh penipu yang mencari mangsa dengan jumlah wang yang besar.

7 Tips Elak Ditipu Skim Cepat Kaya Bertopeng Pelaburan Emas

Skim pelaburan bertopeng emas
Skim pelaburan bertopeng emas – Gambar hiasan.
  1. Periksa Kredibiliti Syarikat: Sebelum melabur, pastikan syarikat tersebut berdaftar dengan Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti.
  2. Jangan Mudah Percaya Pulangan Tinggi: Jika sesuatu pelaburan menjanjikan pulangan yang terlalu baik, itu tanda amaran. Pelaburan emas biasanya tidak memberikan pulangan yang tetap dalam jangka masa pendek.
  3. Rujuk Pakar Kewangan: Dapatkan nasihat daripada penasihat kewangan yang bertauliah sebelum melaburkan wang.
  4. Jangan Terlalu Bergantung kepada Maklumat dari Media Sosial: Iklan di Facebook atau WhatsApp sering digunakan oleh penipu untuk menarik perhatian. Selidik dulu sebelum mengambil tindakan.
  5. Elakkan Membuat Pembayaran ke Akaun Individu: Sentiasa pastikan pembayaran dilakukan kepada akaun syarikat yang sah, bukan akaun peribadi.
  6. Simpan Rekod Semua Transaksi: Pastikan setiap transaksi direkodkan untuk rujukan jika berlaku penipuan.
  7. Laporkan Jika Ditipu: Jangan berdiam diri jika anda telah menjadi mangsa. Laporkan kepada polis dan Bank Negara Malaysia supaya tindakan dapat diambil.

Sekarang ini scammer menggunakan kaedah menipu yang semakin canggih. Hanya dengan ilmu dan kesedaran serta langkah berhati-hati mudah-mudahan kita dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

Seperti yang kami kongsikan di Mengenai Kami bagaimana kami juga hampir-hampir terpedaya dengan skim cepat kaya bertopengkan pelaburan emas, kongsi pengalaman anda atau pandangan di ruangan komen – apa lagi langkah yang boleh diambil untuk melindungi diri kita?